NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melancarkan inisiatif Janji Iklim 2025 pada Selasa, usaha bersepadu global untuk mencegah suhu daripada meningkat melebihi 1.5 darjah Celsius seperti yang termaktub dalam Perjanjian Paris, lapor Xinhua.

Diketuai Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dan Program Pembangunan PBB, kempen itu menggerakkan pelbagai kumpulan peserta termasuk pempengaruh media sosial, pemimpin Orang Asli dan syarikat-syarikat besar.

Inisiatif meluas ini menekankan mesej utama bahawa, menurut Guterres, "bukan semua malapetaka dan kesuraman".

"Banyak negara mempunyai kemahuan untuk mengambil langkah-langkah yang lebih bercita-cita tinggi dalam tindakan iklim, tetapi dunia perlu bergerak untuk memastikan ada jalan," kata Guterres semasa acara pelancaran yang dikenali sebagai, "Below 1.5 by 2025: The Plan".

Menggariskan desakan itu, Guterres memetik peristiwa cuaca ekstrem dan laporan saintifik baru-baru ini, memberi amaran bahawa "apa yang kita lihat hanyalah pratonton bencana yang menanti melainkan kita mengehadkan kenaikan jangka panjang suhu global kepada 1.5 darjah Celsius".

"Had 1.5 darjah Celsius masih boleh dilakukan, tetapi tidak lama," kata ketua PBB itu, menggesa semua negara, terutamanya Kumpulan 20 (G20), untuk memperhebatkan usaha mereka.

"Kita memerlukan langkah konkrit tahun ini untuk mendapatkan aliran kewangan dan membolehkan lonjakan dalam cita-cita iklim," tegasnya. "Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sedang berhimpun untuk menyokong anda. Tolong, rebut peluang itu. Bersama-sama, mari kita jadikan pusingan seterusnya pelan tindakan iklim penting."

-- BERNAMA